Kenapa Kita Perlu Kawal Pembesar Suara Masjid Selain Daripada Tujuan Laungan Azan?

Laungan azan adalah salah satu daripada syiar Islam.

Di kebanyakan negara, termasuklah Malaysia, laungan azan tidak lagi dilakukan dengan cara dilaungkan secara fizikal dari menara masjid.

Sebaliknya, penggunaan pembesar suara diaplikasikan bagi tujuan ini.

Namun, ada beberapa pendapat yang mengatakan laungan azan ini mengganggu ketenteraman awam terutama terhadap golongan bukan Islam.

Apakah yang perlu anda jawab?

Laungan azan menandakan masuknya waktu solat

laungan azan

Laungan azan dilakukan sebagai isyarat masuknya waktu solat fardhu.

Ia dilakukan sebanyak lima kali sehari sesuai dengan lima waktu solat fardhu.

Dalam Islam, laungan azan ini perlu dilakukan dengan suara yang kuat dan nyaring kerana tujuannya adalah untuk memberitahu kepada orang lain.

Tidak dinafikan, laungan azan pada masa kini mungkin lebih kuat berbanding dahulu disebabkan penggunaan teknologi pembesar suara.

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, ia perlulah dihormati kerana ia merupakan salah satu daripada amalan agama Islam.

Hanya laungan azan yang perlu dikuatkan

Isu laungan azan ini bukanlah satu isu yang baharu.

Sebelum ini, terdapat banyak aduan daripada masyarakat bukan Islam berkenaan azan yang terlalu kuat dan lama.

Berkemungkinan, masyarakat bukan Islam ini tidak mengetahui mana satu laungan azan dan mana satu bacaan selain azan.

Sebagai contoh, mereka mendengar bacaan yang lama di corong pembesar suara luar masjid sehingga mencecah 30 minit dan menyangkakanya adalah azan.

Namun, rupanya ia hanyalah bacaan ayat Al-Quran sebelum azan.

Dalam negara kita, sudah menjadi satu amalan di mana bacaan selain azan juga menggunakan pembesar suara di luar masjid.

Ini termasuklah ceramah agama, alunan zikir, bacaan Al-Quran sebelum masuknya waktu solat dan alunan qasidah.

Sebagai orang Islam, kita perlu memperbetulkan kembali kefahaman kita dan salah faham yang timbul agar tidak timbul sebarang fitnah terhadap agama Islam.

Sebenarnya, hanya laungan azan sahaja yang disyariatkan untuk dilakukan dengan suara yang kuat.

Amalan-amalan lain seperti zikir dan bacaan Al-Quran perlulah dikawal tahap kenyaringannya agar tidak mengganggu masyarakat setempat.

Walaupun bacaan seperti zikir dan ayat Al-Quran ini adalah amalan yang baik, ia bukan bermakna kita boleh menghiraukan sensitiviti orang lain yang tinggal di sekitar kita.

Aktiviti ceramah sebagai contoh, cukup dilakukan dengan menggunakan pembesar suara dalam masjid sahaja.

Tidak perlu menggunakan pembesar suara di luar masjid kerana dikhuatiri boleh mengganggu masyarakat lain terutamanya yang bukan Islam. 

Nabi sendiri pernah melarang menyaringkan bacaan Al-Quran

laungan azan

Nabi Muhammad juga pernah menegah seseorang daripada membaca Al-Quran dengan kuat di dalam masjid.

Ini kerana, amalan tersebut boleh mengganggu jemaah lain yang sedang beribadat.

Sebagai contoh, walaupun kita bersama-sama bersolat jemaah di masjid, kita dilarang sama sekali untuk menguatkan bacaan kita selain imam.

Ini kerana, bacaan yang kuat itu boleh mengganggu fokus jemaah lain untuk bersolat.

Bayangkan, tegahan ini sendiri berlaku di dalam masjid, apatah lagi jika bacaan tersebut boleh mengganggu masyarakat lain di luar masjid.

Kita perlu memahami bahawa mungkin terdapat orang lain di luar sana yang sedang berehat, sedang sakit atau anak-anak kecil yang sedang tidur.

Jangan disebabkan bacaan kita yang kuat, boleh menyakiti hati jiran tetangga.

Jika ia kerap mengganggu masyarakat bukan Islam, kita bimbang ia boleh menjadi fitnah kepada agama selain menjauhkan mereka untuk mengenali Islam yang sebenar.

Oleh itu, masyarakat diminta mengawal penggunaan pembesar suara jika ia melibatkan bacaan selain laungan azan. 

Hormati laungan azan dan amalan agama lain

Dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlulah sentiasa menghormati amalan agama lain.

Bagi mereka yang bukan Islam, mereka perlulah menghormati azan yang dilaungkan oleh orang Islam.

Begitu juga dengan orang Islam, kita perlu bertoleransi dengan amalan dan perayaan agama lain.

Sebagai contoh, amalan membakar mercun, membunyikan gendang dan amalan memberi makan pada malam perayaan hantu oleh masyarakat Cina.

Kita juga perlu menghormati amalan agama mereka agar keharmonian kaum dan agama kekal terjaga. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *