Lauren Booth merupakan ipar kepada Tony Blair, iaitu bekas Perdana Menteri Britain. Uniknya, Lauren Booth adalah seorang Muslim.
Ini kisah di sebalik pengislaman ipar bekas Perdana Menteri Britain.
Kehidupan Lauren Booth semasa kecil
Lauren Booth dilahirkan dan dibesarkan di kawasan East London.
Keluarganya adalah keluarga yang miskin, diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Kadangkala, keperluan asas juga tidak mencukupi untuk menampung keluarganya.
Bapanya adalah seorang penganut Kristian Katolik, namun sudah lama tidak mengamalkan ajaran tersebut. Bapanya adalah seorang kaki minum.
Ibunya pula ada seorang penganut Kristian, tetapi lebih mempercayai kepercayaan karut marut.
Ibunya bukanlah seorang yang kerap pergi ke gereja, tetapi mempunyai pelbagai patung di rumah untuk menghalau kejahatan.
Semakin jauh daripada ajaran Kristian
Semasa Lauren masih kecil, dia kerap berdoa kepada Tuhan agar ibu bapanya melayannya dengan baik keesokan hari.
Dalam hati kecilnya, dia percaya bahawa ada sesuatu yang lebih besar dan berkuasa daripada ibu bapanya.
Ketika meningkat ke usia remaja, dia tidak lagi berdoa. Lauren sudah berhenti mengamalkan ajaran Kristian dan berseronok sahaja.
Adakalanya bapanya cuba menasihatinya tetapi dia mengendahkan nasihat tersebut.
Ketika umurnya sudah mencapai 20-an, Lauren banyak meminum arak dan melibatkan diri dengan aktiviti drama.
Pada ketika itu, dia berasa amat seronok sehingga berasa tidak perlu kepada agama.
Semasa zaman persekolahan, ada tiga orang remaja perempuan Muslim dalam kelasnya.
Dia perasan bahawa ketiga-tiga perempuan Muslim ini sangat hebat dalam subjek Matematik dan Sains selain tidak mempunyai teman lelaki.
Selepas kejadian serangan pada 11 September 2001, dunia mula kecoh dengan serangan penganas. Islamofobia meningkat dengan mendadak di seluruh dunia.
Begitu juga dengan Lauren, dia juga mempunyai perasaan yang sama terhadap orang Islam.
Dia percaya bahawa orang Islam akan membunuh mereka yang bukan Islam.
Lauren begitu percaya dengan apa yang disampaikan di media sehingga dia berasa takut dengan orang Islam.
Lauren Booth mula bangkit sedikit demi sedikit

Pada tahun 2004, dirinya mula berasa sedikit lain daripada sebelumnya.
Lauren mula berasa risau dengan gaya hidupnya selain gaya hidup orang barat yang terlalu materialistik.
Lauren sedar bahawa orang di Barat mungkin “menggemari peperangan kerana peperangan mengalihkan perhatian mereka daripada kekosongan yang terdapat dalam hati mereka.”
Lauren juga menyedari bahawa penjualan Al-Quran telah meningkat naik di Amerika Syarikat dan juga United Kingdom selepas kejadian 11 September 2001.
Orang ramai ingin mengetahui mengenai Islam dengan lebih mendalam.
Antara persoalan yang sering timbul ialah, adakah benar bahawa umat Islam menunggu untuk membunuh mereka secara diam-diam, didorong oleh perintah dalam kitab suci mereka?
Mereka mahu mencari kebenaran sendiri.
Mula kenal Islam selepas misi pembebasan Gaza
Pada tahun 2008, Lauren pergi ke Gaza, Palestin untuk menyertai gerakan pembebasan Gaza yang dinamakan “Free Gaza”.
Kumpulan gerakan tersebut mempunyai 46 orang ahli, dan menaiki dua buah bot.
Daripada keseluruhan 46 orang ahli kumpulan tersebut, hanya tiga orang adalah orang Islam.
Mereka sengaja memasukkan orang Islam dalam misi tersebut kerana ingin menujukkan kepada dunia bahawa orang Eropah dan Amerika juga bersama-sama dengan rakyat Gaza.
Dalam tempoh 41 tahun, kumpulan ini adalah kumpulan yang pertama berlayar ke Gaza daripada luar.
Pada ketika itu, mereka hanya merancang untuk tinggal di Gaza selama beberapa hari.
Namun, pihak Mesir dan Israel telah menutup sempadan dan mengepung kumpulan mereka di Gaza.
Lauren terpaksa tinggal di Gaza selama sebulan. Semasa Ramadan di Gaza, sebuah keluarga menjemputnya untuk berbuka puasa bersama.
16 orang ahli keluarga tersebut tinggal beramai-ramai dalam sebuah pondok kecil. Apabila dia hendak mula makan, dia menyedari bahawa makanan untuk berbuka puasa itu amatlah sedikit.
Dia bertanya kepada keluarga tersebut, mengapa mereka masih lagi berpuasa dalam keadaan yang susah.
Keluarga tersebut menjawab bahawa mereka sayangkan Allah dan nabi mereka.
Oleh itu, mereka patuh kepada semua perintahnya dengan rasa syukur.
Pada ketika itu, hati Lauren mula berasa sedikit lain. Dia dapat merasakan indahnya Islam.
Malah, hatinya membuak-buak menyatakan keinginannya terhadap Islam.
Mengucapkan syahadah di Iran

Perjalanan Lauren memeluk Islam tidak semudah yang disangka.
Dia menjalani jalan yang agak panjang sebelum memeluk Islam walaupun sudah banyak kali mendapat tanda mengenai keindahan Islam.
Lauren Booth mengambil keputusan untuk memeluk Islam beberapa tahun kemudian ketika dia berada di Iran.
Niatnya untuk memeluk Islam berlaku setelah berjumpa dengan beberapa individu dan golongan profesional Muslim di Iran.
Selain itu, dia juga banyak terlibat dengan rancangan televisyen mengenai Palestin dalam saluran televisyen Islam Channel dan Press TV.
Lauren juga tidak terlepas daripada respon dan stigma negatif rakan-rakannya setelah dia memeluk Islam.
Rujukan:
https://www.icna.org/lauren-booths-spiritual-journey-to-islam/
https://www.theguardian.com/world/2010/nov/03/lauren-booth-conversion-to-islam