Usaha menafikan keaslian Al-Quran seringkali dilakukan dengan pelbagai tuduhan yang tidak masuk akal. Namun, disebabkan kita mungkin tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menjawabnya, maka hujah yang ingin diberikan sering menemui jalan buntu. Ada sesetengah dakwaan yang mengatakan Al-Quran ditulis sendiri oleh orang Arab atau diambil ceritanya daripada orang lain seperti Waraqah.
Bagaimana untuk menjawab tuduhan ini?
Orang Arab bukanlah bangsa yang maju

Pernahkah kita mendengar bahawa kuasa-kuasa utama dunia pada ketika itu seperti Rom dan Parsi ingin merebut tanah Arab? Tidak pernah bukan? Ini kerana, tanah Arab bukanlah kawasan yang sangat maju seperti peradaban dan tamadun lain.
Bahkan, orang Arab sendiri boleh dikatakan sebagai masyarakat yang mundur. Tiada kuasa dunia yang ingin menakluki tanah Arab disebabkan keadaannya yang sangat mundur dan tidak mempunyai kemewahan atau kekayaan yang ingin direbuti.
Bagaimana mungkin jika Al-Quran itu dihasilkan oleh orang Arab yang kurang bertamadun dari segi keilmuannya jika dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam isi Al-Quran?
Dakwaan Rasulullah diajar oleh tukang besi berbangsa Rom

Salah satu daripada dakwaan mubaligh Kristian ketika mempertikaikan keaslian Al-Quran ialah, mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad belajar daripada seorang tukang besi berbangsa Rom yang beragama Kristian yang tinggal di sekitar kota Mekah.
Untuk menjawab dakwaan ini, Allah telah menjawabnya melalui ayat 103, Surah An-Nahl. Mafhumnya:
“Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: ” Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia”. Padahal bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.”
Tukang besi beragama Kristian dan berbangsa Rom seperti yang didakwa itu sebenarnya tidak pandai berbahasa Arab. Nabi Muhammad pula adalah seorang Arab yang bertutur dalam bahasa Arab. Al-Quran juga diturunkan dalam bahasa Arab.
Bagaimana mungkin seorang yang tidak pandai bercakap bahasa Arab, boleh mengajarkan seorang yang lain mengenai sesuatu yang kompleks sehingga Al-Quran ditulis dengan cantik dalam bahasa Arab.
Nabi Muhammad sendiri tidak pandai berbicara dengan bahasa selain daripada bahasa Arab. Dakwaan ini ternyata tidak logik.
Dakwaan Rasulullah mempelajari cerita-cerita daripada Waraqah Bin Naufal, pendeta orang Arab

Ada juga dakwaan yang menyatakan bahawa nabi mempelajari cerita-cerita dalam kitab Injil untuk ditulis dalam Al-Quran daripada seorang individu bernama Waraqah Bin Naufal.
Waraqah adalah seorang pendeta yang beragama Nasrani. Beliau merupakan individu beragama Hanif pertama yang mengakui kenabian Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana, kenabian baginda ini tercatat dalam kitab Injil.
Dalam sirah Rasulullah, individu bernama Waraqah Bin Naufal ini dijumpai oleh nabi sebanyak dua kali ketika hayat baginda. Menurut ahli sejarah Islam iaitu Ibnu Ishak, pertama kali nabi bertemu Waraqah ketika baginda berumur 5 tahun semasa mengikuti datuknya berniaga.
Pada ketika itu, baginda hilang daripada jagaan Abdul Mutalib sebelum dijumpai oleh Waraqah ketika baginda dilihat sedang berkeliling seorang diri. Waraqah membawa nabi kembali kepada datuknya, Abdul Mutalib. Pertemuan ini berlaku sebelum penurunan wahyu.
Kali kedua nabi berjumpa Waraqah adalah ketika baginda bertemunya bersama Khadijah. Pertemuan kedua ini terjadi selepas penurunan wahyu pertama.
Sewaktu pertemuan kedua ini, Waraqah sekali lagi mengakui kerasulan nabi. Jika difikirkan secara logik, adakah masuk akal sekiranya baginda nabi yang dilantik menjadi rasul dan diakui sendiri kerasulannya oleh Waraqah, mengambil cerita-cerita dari Waraqah pula untuk dikarang dalam Al-Quran.
Sedangkan martabat nabi pada ketika itu jauh lebih tinggi daripada Waraqah. Sepatutnya, Waraqah yang perlu mendengar cerita dari nabi, bukannya nabi yang mengambil cerita dari Waraqah.
Tambahan pula, Waraqah meninggal dunia sebelum lengkapnya penurunan Al-Quran. Jika nabi mengambil cerita daripada Waraqah untuk mengarang Al-Quran, bagaimana nabi menyiapkan Al-Quran jika Waraqah sendiri sudah meninggal dunia sebelum Al-Quran disiapkan?
Nabi Muhammad menulis Al-Quran dengan sendirinya?
Selain daripada dakwaan Al-Quran ditulis berdasarkan Bible atau meniru Bible, ada juga yang menyatakan Nabi Muhammad menulis Al-Quran dengan sendirinya.
Untuk menjawab persoalan ini dengan lebih jelas dan mendalam, anda boleh merujuk kepada artikel khusus di sini.
Rujukan:
Powerpoint Slide Bukti Keaslian Al-Quran