“Orang Islam Tak Sembah Patung, Tapi Kenapa Sembah Kaabah?”

Salah satu persoalan yang sering diutarakan oleh golongan bukan Muslim adalah persoalan sembah Kaabah. Mereka sering bertanya mengapa orang Islam menyembah Kaabah, sebuah kotak atau binaan kotak berwarna hitam di Mekah.

Untuk menjawab persoalan ini, anda boleh melihat kepada hujah di bawah ini.

Kaabah sebagai kiblat orang Islam ketika bersolat

persoalan sembah kaabah

Pertama sekali, kita perlu menyatakan bahawa orang Islam akan menghadap kearah Kaabah ketika melakukan solat.

Namun, tidak bermakna kita menyembah Kaabah. Orang-orang Islam tetap hanya menyembah kepada Allah Taala sahaja.

Suruhan menghadap kearah Kaabah ketika bersolat telah dinukilkan dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-144 yang bermaksud:

“Kerap kali Kami melihat engkau wahai Muhammad, berulang-ulang mendongak ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam iaitu tempat letaknya Kaabah; dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Menghadap ke Kaabah adalah simbol perpaduan

Kaabah bukanlah untuk disembah, tetapi hanya sebagai satu penanda atau simbol perpaduan orang Islam untuk menghadap satu arah sahaja ketika bersolat.

Tanpa suruhan menghadap Kaabah, mungkin orang Islam akan bersolat dengan menghadap kearah yang mereka suka sahaja. Sebagai contoh, ada yang ingin menghadap ke barat, dan ada pula yang ingin menghadap ke utara.

Bagi menyatukan keseluruhan umat Islam dalam menyembah Tuhan yang Satu, umat Islam diwajibkan untuk menghadap kepada satu arah sahaja sebagai simbolik kepada Tuhan yang Satu.

Bagi orang Islam yang tinggal di kawasan Barat, mereka akan menghadap ke arah timur, manakala bagi mereka yang tinggal di kawasan timur, akan menghadap ke barat iaitu kearah Kaabah. 

Kaabah terletak di tengah-tengah dunia

persoalan sembah kaabah

Orang-orang Islam merupakan antara golongan pertama yang membuat lakaran peta dunia. Namun, dalam peta yang dilukis oleh orang Islam, bahagian selatan terletak di bahagian atas peta, manakala bahagian utara terletak di bahagian bawah peta.

Kemudian, ahli kartografi dari Barat pula menukarkan kedudukannya sehingga yang kita dapat lihat pada hari ini; utara di bahagian atas, manakala selatan di bahagian bawah.

Namun, walaupun kedudukan utara dan selatan ini berubah kedudukannya selepas itu, Kaabah masih lagi terletak di tengah-tengah dunia. 

Ibadat tawaf sebagai lambang ketuhanan yang Esa

Apabila orang Islam hadir ke Masjidil Haram di Mekah, mereka bukan sahaja bersolat, tetapi juga mengerjakan tawaf.

Tawaf adalah satu ibadat atau perbuatan mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali dengan pusingan yang berlawanan dengan pusingan jarum jam.

Ibadat tawaf ini sebenarnya melambangkan konsep penyembahan kepada Tuhan yang Satu, kerana bulatan hanya mempunyai satu pusat sahaja. 

Tidak mungkin orang Islam pijak Kaabah jika Kaabah itu objek sembahan

Ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W, akan ada individu yang berdiri di atas Kaabah bagi melaungkan azan sebagai seruan untuk bersolat.

Pada masa sekarang pula, ramai petugas akan berada di atas Kaabah ketika proses pertukaran kelambu Kaabah pada 9 Zulhijjah setiap tahun.

Mereka akan memijak atas Kaabah bagi memasang kelambu tersebut yang mengambil masa selama berjam-jam lamanya.

Jika benarlah Kaabah itu objek yang disembah oleh orang Islam, mana mungkin orang Islam akan memijaknya sesuka hati. 

Tetap menghadap arah yang sama walaupun tiada Kaabah

persoalan sembah kaabah

Kaabah hanyalah sebuah binaan batu biasa sahaja. Sekiranya Kaabah itu dialihkan ke tempat lain, orang-orang Islam masih akan menghadap kearah yang sama untuk menunaikan solat walaupun tiada Kaabah di sana.

Ibadat solat orang Islam masih lagi sah walaupun Kaabah telah tiada atau dialihkan ke tempat lain. Ini kerana yang disembah ialah Allah, bukanlah Kaabah. 

Hujah-hujah ini telah menjawab persoalan sembah Kaabah oleh orang bukan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *