Apakah pandangan Islam yang sebenar dalam isu memberi ucapan salam kepada golongan bukan Muslim?
Adakah dibenarkan dalam Islam? Bagaimana pula untuk menjawabnya?
Hukum memberikan ucapan salam kepada bukan Muslim
Secara dasarnya, terdapat empat hukum yang boleh dikelaskan bagi isu ini.
Ini adalah berdasarkan ijtihad ulama’ tentang ucapan salam dengan lafaz Assalamu’alaikum.
Hukum-hukum tersebut ialah haram, makruh, harus dan juga tidak harus.
Hukum memberikan ucapan salam

Dalam ijtihad Mazhab Syafie’, kita diharamkan atau dilarang untuk memberikan salam kepada golongan bukan Islam.
Hukum ini ditentukan berdasarkan dalil daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, yang bermaksud:
“Janganlah kamu memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan Nasrani.”
(Riwayat Muslim)
Dalam hadis tersebut, ia menyatakan haram untuk memberikan salam dengan ucapan Assalamualaikum kepada golongan bukan Islam.
Namun, jika dalam sesuatu kumpulan manusia itu ada percampuran antara golongan Muslim dan bukan Muslim, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan memberi salam kepada mereka.
Imam Nawawi juga menyatakan bahawa diharuskan untuk memberikan salam kepada kumpulan yang mempunyai kedua-dua orang Islam dan juga orang bukan Islam.
Tetapi dengan niat sebenarnya adalah untuk memberikan ucapan salam kepada orang-orang Islam dalam kumpulan tersebut.
Imam Al-Mawardi pula menyatakan bahawa harus untuk kita memberikan salam kepada golongan bukan Islam kerana ia adalah satu adab dan juga sunah.
Namun hanya dibolehkan menggunakan lafaz Assalamu’alaika dan bukannya Assalamu’alaikum seperti kebiasaan kita memberikan salam kepada orang Islam.
Ini bertujuan untuk membezakan lafaz salam sesama Muslim dan juga bukan Muslim.
Apakah hukum menjawab salam daripada bukan Muslim?

Sekiranya kita berhadapan dengan satu situasi di mana orang bukan Islam memberikan salam kepada kita, Nabi Muhammad S.A.W ada mengajarkan kepada kita cara untuk menjawabnya.
Kita hanya perlu menjawab dengan lafaz Wa’alaikum sahaja.
Sebab hadis ini diriwayatkan adalah daripada peristiwa beberapa orang Yahudi yang memberikan salam kepada Nabi Muhammad tetapi dengan ucapan yang buruk.
Kumpulan Yahudi tersebut mengucapkan salam kepada Nabi dengan lafaz Al-Sam Alayka, yang bermaksud kecelakaan ke atas kamu.
Namun, Nabi menjawabnya dengan tenang dengan lafaz Wa’alaikum, yang bermaksud ke atas kamu juga.
Selain itu, tujuan Nabi menjawab dengan kalimah ringkas seperti ini adalah untuk mengelakkan sebarang perbalahan dan pergaduhan yang boleh menggugat keharmonian antara manusia.
Cara ini juga menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad mengajar umatnya untuk bertoleransi apabila berlaku sebarang isu yang boleh menyebabkan kemarahan dalam hidup bermasyarakat.
Contohi Nabi Muhammad dalam toleransi antara kaum dan agama
Diharapkan penerangan ringkas mengenai memberi dan menjawab salam bersama mereka yang bukan Islam ini dapat membantu anda memahaminya dengan betul.
Contohilah perbuatan dan akhlak Nabi dalam perkara yang melibatkan hubungan antara kaum dan agama kerana baginda adalah contoh terbaik bagi umat manusia.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd.
- https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1158-irsyad-al-hadith-siri-ke-53-ucapan-salam-hadith-dan-feqahnya
- https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3985-irsyad-al-fatwa-siri-ke-368-memberi-salam-kepada-kelompok-muslim-dan-non-muslim